Thursday, October 28, 2010

MINGGU 13:JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.


Setiap perjalanan hidup adalah pengalaman. Setiap pengalaman itu adalah pengetahuan. Setiap pengetahuan bermakna kepandaian dan setiap kepandaian bermakna kehidupan yang lebih istimewa.” – DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Alhamdulillah sepanjang mengikuti kuliah selama 14 minggu ini, begitu banyak pengalaman bermakna yang diperolehi hasil daripada pengajaran En Amran. Ucapan terima kasih saya dahulukan buat tenaga pengajar atas segala pengalaman yang ditaburkan. Saya bukan sahaja dapat memperoleh pengetahuan khususnya berkenaan dengan Muzik Tradisional tetapi juga berkaitan dengan isu-isu kehidupan seharian. Keseluruhannya, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh adalah tidak terhitung nilainya.
Uniknya kursus Muzik Tradisional ini apabila ia menggunakan kaedah teknologi dalam menyampaikn maklumat atau arahan serta pelajar mengeluarkan hasil pelajaran yang diperolehi juga melalui teknologi. Hal ini adalah seiring dengan arus pemodenan. Kami pelajar telah didedahkan dengan penggunaan blog sejak kuliah yang pertama. Kami didedahkan bagaimana penggunaan blog ini dapat memberi kelebihan kepada pemikiran dan juga kemahiran setiap pelajar universiti. Perkara baru selalunya sukar untuk diterima dan dilaksanakan. Namun, hasil latihan dan juga penggunaannya setiap minggu maka, penulisan jurnal dan juga menjawab soalan di blog menjadi lebih mudah dari semasa ke semasa. Pada awalnya, ia bukan sesuatu kebiasaan bagi setiap orang untuk melahirkan kembali apa yang dirasai atau didapati pada ruangan umum yang boleh dilihat dan dibaca oleh orang lain. Namun hasil daripada penggunaan blog ini, ia dapat melatih saya antaranya untuk lebih bersikap terbuka dalam memberikan pendapat dan pandangan.
Berkenaan dengan kandungan pengajaran, bagi saya yang tidak langsung mempunyai pengetahuan berkenaan muzik, ia adalah sangat berat. Tambahan lagi pada topik yang memperlihatkan note dan sebagainya. Selain itu, masih terdapat beberapa istilah muzik yang saya tidak dapat fahami dan memberi kesan kepada penguasaan pengetahuan. Apa yang saya jangkakan bagi kursus pengayaan diri, ia sepatutnya tidak begitu sukar. Walaubagaimanapun, pengalaman sepanjang kursus Muzik Tradisional ini adalah sangat bermakna walaupun banyak kekangan ekoran kurang kefahaman dari diri saya sendiri.
Pelaksanaan penulisan blog, serta menjawab soalan yang diberikan sememangnya telah berjaya mengasah pemikiran saya yang mulai tumpul. Penulisan jurnal ini antaranya memerlukan saya untuk berfikir bagi menulis ruangan entri ini. Namun hasil daripada tunjuk ajar En Amran, penulisan jurnal ini saya cuba lakukan lebih baik dari semasa ke semasa. Kolaboratif ini juga berlaku dalam blog serta laman Facebook. Di kedua-dua lapangan ini, antara pelajar boleh berkongsi idea, memberi pandangan dan berkomunikasi antara satu sama lain. Begitu juga di antara pelajar dengan pensyarah.
Keunikan kursus ini bertitik-tolak daripada kekreatifan tenaga pengajar dalam menjadikan sesi pengajaran lebih menarik, berkesan dan berpendidikan. Oleh itu seiring dengan arus pemodenan teknologi, ia dimanfaatkan dengan sebaiknya apabila blog dan facebook menjadi antara elemen penting pengajaran dan pembelajaran. Pelajar diminta untuk menulis jurnal pada setiap minggu. Hal ini relevan supaya pelajar dapat merekod hasil pembelajaran yang diperolehi dan boleh digunakan semasa peperiksaan dan juga sebagai memori kekal dalam bentuk penulisan. Selain itu, pensyarah sangat peka kepada pendekatan pendengaran. Hal ini menjadikan pelajar seorang yang sangat peka pada persekitaran dan menghargai nilai estetika sesebuah bunyi itu. Seterusnya kaedah pembentangan. Kaedah ini semestinya memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut untuk lebih mendalami tentang tajuk pembentangan mereka. Seterusnya akan memberikan pertambahan ilmu kepada pelajar lain yang mendengar hasil pembentangan. Pensyarah sangat menggalakka pelajarnya untuk turun padang atau membuat kajian lapangan bagi tajuk yang diberikan. Hal ini supaya pelajar dapat merasa sendiri dan melihat sendiri berkenaan muzik tersebut. Seterusnya hasil pembentangan akan menjadi lebih menarik dan penuh input baru.
Hasil pembentangan setiap kumpulan adalah sangat menarik dan baik. Pertambahan ilmu berlaku pada setiap minggu. Kaedah kreatif pelajar yang antaranya memulakan pembentangan dengan demo bermain alat muzik, persembahan wayang kulit, lakonan dan sebagainya sangat memberi kesan kepada kefahaman dan tarikan pelajar.
Dari awal kuliah, bermula dengan pengenalan kepada muzik tradisional, sejarah kedatangan muzik tersebut, ciri-ciri, soundscape, kemudian diikuti dengan pengkhususan kepada muzik tradisional tertentu seperti mak yung, wayang kulit, kompang, tarian singa, caklempong, kuda kepang. Di dalam setiap penerangan tajuk ini, perkara yang akan diterangkan merangkumi beberapa aspek penting seperti sejarah kedatangan muzik tersebut, ciri-ciri, alat yang digunakan, dimulai dengan paparan video bagi memberi gambaran awal kepada pelajar berkenaan hal yang akan diterangkan kemudian. Kemudiannya sesi pembentangan dengan tajuk-tajuk yang telah dipilih oleh pelajar sendiri. Pembentangan ini diwarnai dengan gaya persembahan yang pelbagai serta memberikan input baru bukan sahaja kepada pembentang tetapi juga pelajar yang mendengar. Setelah tamat sesi pembentangan, pensyarah membuat rumusan berkenaan kuliah pertama sehingga kuliah empat belas.
Akhir bicara, kursus ini sangat menarik dan memberikan banyak pengalaman baru kepada saya. Antaranya pengalaman bermain alat muzik seperti kompang, dan sebagainya. Usaha pensyarah dalam memastikan pelajar memahami pengajarannya akan sentiasa diingati. Begitu juga dengan kesabaran melayan kerenah pelajar. Harapan saya, semoga En Amran terus maju dalam mengajar menggunakan pendekatan yang lebih moden.
Teruskan Membaca...

Wednesday, October 27, 2010

MINGGU 12: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.

Pada minggu ke-12 ini, saya telah mendapat pengetahuan baru. Kuliah pada kali ini memperkatakan berkenaan dengan Gendang 24 Musim. Di Malaysia, ia telah diasaskan oleh seorang guru muzik, iaitu En. Chen Wei Chong di Johor Bharu. Gendang ini adalah berasaskan musim pertanian di negara China. Uniknya, pada setiap gendang itu mewakili 24 musim pertanian ini.
Antara musim itu adalah:


•Li Chun- bermulanya musim bunga (mulai 4 Feb)
•Yu Shui- air hujan (mulai 19Feb)
•Jing Zhe- pembangkitan semula serangga (mulai 5 Mac)
•Chun Fen- Ekuinoks musim bunga (mulai 20 Mac)
•Qing Ming- terang dan nyaman (mulai 4 April)
•Gu Yu- hujan bijirin (mulai 20 April)
•Li Xia- bermulanya musim panas (mulai 5 Mei)
•Xiao Man- bijirin mula berisi (mulai 21 Mei)
•Mang Zhong- bijirin masak (mulai 5 Jun)
•Xia Zhi- Solstis musim panas (mulai 21 Jun)
•Xiao Shu- bahang kecil (mulai 7 Julai)
•Da Shu- bahang besar (mulai 22 Julai)
•Li Qiu- bermulanya musim luruh (mulai 7 Ogos)
•Chu Shu- tamatnya cuaca bahang (mulai 23 Ogos)
•Bai Lu- embun putih (mulai 7 Sept)
•Qiu Fen- Ekuinoks musim luruh (mulai 23 Sept)
•Han Lu- embun sejuk (mulai 8 Okt)
•Shuang Jiang- turun fros (mulai 23 Okt)
•Bai Lu- embun putih (mulai 7 Sept)
•Qiu Fen- Ekuinoks musim luruh (mulai 23 Sept)
•Han Lu- embun sejuk (mulai 8 Okt)
•Shuang Jiang- turun fros (mulai 23 Okt)
•Xiao Han- cuaca semakin sejuk (mulai 6 Jan)
•Da Han- cuaca paling sejuk (mulai 21 Jan)


Para pemain gendang ini memakai kostum yang berunsurkan kecinaan. Jika diperlihatkan daripada corak persembahan, ia sangat menarik kerana melibatkan banyak pergerakan dan ia sangat teratur.





Teruskan Membaca...

Tuesday, October 12, 2010

MINGGU 11: JURNAL REFLEKSI


















Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.



Kini, kita telah pon melepasi kuliah minggu yang kesebelas. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi kita akan menghabiskan kuliah pada semester kali ini. Pada minggu-minggu yang sebelumnya, kita telah dapat mendengar pembentangan daripada rakan-rakan meliputi tajuk yang pelbagai. Kesannya, alhamdulillah semakin banyak pengetahuan yang diperolehi. Pada minggu ke-11 ini pembentangan menjadi semakin menarik. Tajuk pembentangan kali ini adalah Wayang Kulit.

Apa yang sangat menarik pada pembentangan Wayang Kulit ini adalah, kami telah dipersembahkan dengan persembahan Wayang Kulit secara "live". Ini adalah kali pertama saya dapat melihat persembahan wayang kulit ini. Dan tidak pernah terlintas langsung sebelum ini untuk melihat persembahan ini. Namun, terima kasih kepada para pembentang kerana memberikan saya peluang dan pengalaman ini. Secara keseluruhannya, persembahan ini sangat menarik kerana dapat melihat sendiri pergerakan persembahan, permainan watak patung-patung, iringan muzik dan sebagainya. Ia sememangnya sangat menarik.

Pada sesi pembentangan ini, terdapat beberapa perkara yang telah diperkatakan. Antaranya adalah sejarah wayang kulit, alat muzik yang digunakan. jenis-jenis wayang kulit, dan juga antaranya hasil dapatan kajian lapangan.


Sedikit sebanyak input yang diperolehi antaranya iaitu terdapat empat jenis wayang kulit. Antaranya wayang kulit Kelantan yang berdialek Kelantan, dan dipengaruhi Patani, seterusnya wayang kulit Melayu berpengaruh Jawa, seterusnya wayang kulit Purwo berdialek Jawa dan diselitkan dengan bahasa melayu tempatan. Akhir sekali iaitu wayang kulit Gedek dalam bahasa Thailand serte bahasa melayu loghat tempatan.
Antara ciri-ciri wayang kulit yang diperjelaskan iaitu dari segi patung, muzik dan juga tok dalang. Setiap jenis wayang kulit ini ada yang mempunyai ciri-ciri yang sama dan ada juga yang berbeza. Contohnya dari sudut pergerakan sendi patung. Patung wayang kulit berpengaruh Jawa boleh menggerakkan kedua-dua sendi tangan manakala wayang kulit Kelantan hanya boleh menggerakkan sendi sebelah hadapan patung sahaja. Dari sudut muzik pula, wayang Kelantan dan wayang Gedek diiringi kumpulan paluan dan sebatang serunai, manakala wayang Purwo diiringi kumpulan gamelan. Patung wayang kulit ini diperbuat samada dari kulit lembu atau kambing. Terdapat pantang larang di dalam pembuatan patung wayang kulit ini yang dikaitkan dengan perempuan mengandung.
Apa yang menariknya di dalam persembahan wayang kulit ini, setiap patung itu ada bentuk, warna dan peranan yang berbeza. Setiap perbezaan ciri pada patung itu adalah simbolik kepada identiti ptung tersebut. Contohnya patung berwarna hitam menggambarkan rakyat biasa. Patung yang mempunyai hidung yang tinggi menggambarkan seorang yang bongkak atau kaya. Warna mata juga turut memberi identiti kepada patung tersebut. Kami berpeluang untuk menyentuh antara patung wayang kulit ini iaitu "pohon beringin" yang diperjelaskan sebagai simbol kerajaan.
Jikalau dulu persembahan wayang kulit ini lebih kepada persembahan cerita epik, namun kini seiring dengan pemodenan, persembahan wayang kulit turut mengalami evolusi. Persembahan wayang kulit kini mula menggunakan isu semasa dan berbentuk jenaka. Hal ini bagi menarik golongan generasi baru untuk mendekati persembahan wayang kulit.
Keseluruhannya, pembentangan wayang kulit ini sangat menarik. Tahniah kepada para pembentang.
*--*
Teruskan Membaca...

Tuesday, October 5, 2010

MINGGU 10: JURNAL REFLEKSI









Assalamualaikum.

Alhamdulillah, masih lagi berkesempatan untuk membuat refleksi bagi kuliah-kuliah yang dihadiri. Seperti biasa, telah banyak genre Muzik Tradisional yang telah diketahui hasil daripada kuliah dan juga pembentangan kumpulan. Pada pembentangan yang lepas, tajuk Makyong menjadi pilihan dan ianya sangat menarik. Pada kali ini diharapkan pembentangan kumpulan akan lebih memberi input bermakna.

Pada sesi pembentangan pada minggu 10 ini, kami dibentangkan dengan tajuk yang sangat menarik dan merupakan pengetahuan baru bagi saya. Hal ini kerana, tajuk ini berkaitan dengan warisan kesultanan Melayu di Malaysia. Uniknya ia kerana hanya dimainkan di istana sahaja dan di kalangan orang tertentu serta ia dilindungi dengan pelbagai pantang larang. Tajuk pembentangan ini iaitu nobat. Selain itu, pembentangan kedua pula juga merupakan input baru iaitu Orkestra Cina Moden.

Nobat adalah sejenis muzik istana yang popular di Perak, Selangor, Kedah dan Terengganu. Persembahan Nobat ini hanya boleh dimainkan pada waktu tertentu. Menurut para pembentang, tidak ada bukti kukuh mengenai sejarah kedatangan Nobat ke Malaysia. Namun, yang pastinya ia bermula dari Kesultanan Melayu Melaka. Masyhur dan pentingnya Nobat ini kerana apabila sultan yang ditabalkan tidak mempunyai daulat jika pertabalannya tidak diiringi dengan bunyian Nobat.

Di Malaysia, hanya ada 1 sahaja balai nobat iaitu di Alor Star Kedah. Ia dibina oleh Sultan yang ke-19 dan seringkali diubah oleh sultan seterusnya. Antara alat muzik yang digunakan di dalam persembahan nobat adalah serunai, gendang ibu dan anak, nafiri, gong. Setiap alatan ini dianggap sangat suci. Ini diperlihatkan apabila alatan ini hendak dibawa turun ke Balai Besr, tidak boleh sesiapa melintas hadapannya. Setiap alatan ini dibalutkan dengan kain kuning melambangkan identiti sultan. Antara lagu nobat iaitu Raja Burung dan Belayar.

Serba sedikit daripada hasil pembentangan, nobat negeri Perak hanya dimainkan oleh orang Kalur. Orang Kalur ini juga dikenali sebagai orang muntah lembu. Ia berasal daripada lelaki yang bernama Bat atau Betala. Dahulunya kawasan bilik nobat dipagarkan dengan bulu ayam dan sesiapa yang menceroboh akan dihukum. Antara alat muziknya iaitu gendang nobat, nafiri, serunai, gendang nanghara, gendang penangkah. Dalam Nobat Perak, ia dimainkan bagi beberapa tujuan seperti hal peribadi sultan, istiadat pertabalan, istiadat menjunjung duli, keberangkatan sultan, mengiringi jenazah, menyambut hari raya dan sebagainya.

Nobat negeri Kedah, terdapat penambahan alat iaitu gong. ia dimainkan pada setiap hari dengan tujuan seperti dimainkan setiap kali sebelum masuk solat, setiap hari jumaat, istiadat pertabalan dan atas tujuan lain seperti Nobat di Perak.

Di Selangor pula, sama sahaja alatan yang digunakan seperti Nobat di Perak. Nobat Terengganu pula berasal dari riau semasa pemerintahan Sultan Ahmad. Antara alat muzik yang digunakan seperti kopak-kopak, serunai, nafiri, gendang nobat, gendang negara. Terdapat tiga lagu utama yang dimainkan, antaranya lagu Iskandar Syah.

Terdapat pantang larang di dalam muzik Nobat ini iaitu alatan muzik tidak boleh dipersendakan dan kedudukannya tidak boleh diubah. Antaranya lagi, tidak dibenarkan melihat bawah permukaan gendang nahara kerana dipercayai ia diperbuat daripada kulit perempuan mengandung.

Nobat ini sangat istimewa kerana hanya golongan istana yang memainkannya. Yang pastinya orang kebanyakan atau rakyat biasa tidak boleh menyentuh alat muzik itu, apatah lagi memainkannya.
Pembentangan kedua pula iaitu berkenaan Orkestra Cina Moden. Hasil pembentangan dimulai dengan sejarah Orkestra Moden ini. Kini, Orkestra Moden ini antaranya telah mula mendapat tempat dalam industri Muzik Malaysia apabila sudah mula mengadakan hubungan dengan kebudayaan Malaysia. Orkestra ini sangat menarik kerana alatannya sendiri bentuk fizikalnya menarik dn menonjolkan ciri-ciri kecinaan. Apa yang menjadi keistimewannya adalah betapa pihak orkestra cina Moden ini ingin terus memartabatkan muziknya. Walaupun Orkestra ini tidak mendapa sebarang tajaan, namun ia masih mapu bergerak hasil inisiatif pihak Orkestra Cina Moden terbabit. Power point pembentang sangat menarik dan ditambah dengan rakaman alat muzik itu dimainkan oleh pakar atau guru di pusat Orkestra terbabit.
Kesimpulannya, pembentangan pada minggu ke10 ini sememangnya menarik dan memberi pengetahuan baru. Terima kasih kepada rakan-rakan pembentang. Diharapkan kuliah seterusnya akan terus memberi hasil kerja yang menarik.




Teruskan Membaca...

Tuesday, September 28, 2010

MINGGU 9: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.

Salam ukhwah, salam sejahtera buat semua. Bertemu lagi di ruangan penulisan jurnal. Pada kali ini, seperti biasa pasti ada perkara yang menarik perhatian dan meninggalkan memori. Jika sebelumnya telah diketahui berkenaan dengan Menora, pada pembentangan seterusnya ingin pula diketahui berkenaan Mak yong.
Pada minggu ke-9 ini, kuliah mengandungi 3 slot iaitu persembahan oleh staf pemuzik UPSI, slot ucapan Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof Madya Dr. Hassan, dan slot pembentangan oleh pelajar. Kuliah dimulai dengan persembahan demo alat muzik tradisional seperti rebab, serunai, gong, gendang anak, gendang ibu dan sebagainya. Ia dipersembahkan dengan begitu menarik sekali dan mencuri perhatian setiap pelajar. Demo itu diiringi dengan penerangan serba sedikit berkenaan dengan alat muzik oleh Prof Hassan. Hal ini telah menambahkan lagi pengetahuan sedia ada saya.
Setelah selesai demo tersebut, pelajar yang membuat pembentangan mengambil tempat. Tajuk pada minggu ini iaitu dramatari Mak Yong. Namun, sebelum pmbentangan dimulakan, para pelajar diajar dengan tarian menghadap rebab. ianya sangat menarik dan sangat seronok untuk mengikuti gerak tari yang didemokan. Diperlihatkan bahawa gerak tarian ini memerlukan kesabaran, ketelitian serta kelembutan dalam menghayati seterusnya menzahirkannya dengan sangat unik sekali. Selain itu dapat dilihat ia juga memperlihatkan unsur-unsur islam dengan penggunaan simbol huruf Islam.
Seterusnya pembentangan bermula. Awalnya, kami dibentangkan dengan sejarah Mak Yong yang mana kewujudannya dikatakan bukan perkara yang disengajakan. Ia merupakan nazar ke atas kesihatan anaknya yang semakin pulih. Seterusnya, kami diterangkan bahawa persembahan Mak Yong mempunyai 3 tujuan iaitu hiburan, perubatan serta sembah guru. Kebiasaanya tema persembahan adalah berkisarkan kepada percintaan dalam kalangan keluarga diraja. Antara watak utama iaitu peran, dayang, dan lain-lain.
Dari sudut kostum persembahan, pemain makyong memakai baju yang diperbuat daripada kain satin, kain sampin labuh, tali pinggang. di bahagian dada, bajunya dihiasi dengan sibar layang iaitu hiasan manik-manik halus. Pemain Mak Yong juga memakai perhiasan mahkota di kepalanya.
Alat muzik yang digunakan dalam persembahan Mak Yong iaitu rebab tiga tali, sepasang gendang, dan tetawak, serunai, kesi, canang.
Pembentangan kali ini adalah menarik. Namun, tidak berapa jelas kaedah penyampaian yang digunakan. Pada pembentangan seterusnya diharapkan sesi pembentangan lebih menarik. Pastinya lebih penumpuan akan diberikan sepanjang 2 jam sesi kuliah berlangsung.
wassalam.



Teruskan Membaca...

Tuesday, September 7, 2010

MINGGU 8: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.

salam lebaran kepada semua.

Alhamdulillah, walaupun di dalam suasana cuti menyambut aidilfitri ini. masih lagi berkesempatan untuk melaksanakan tugas setiap minggu seperti biasa. Terlebih dahulu, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat En Amran dan rakan sekalian. Semoga lebaran kali ini memberi lebih kebahagiaan buat semua.

Pembentangan kumpulan telah pun dijalankan sejak minggu lepas. Kumpulan yang membentang pada sesi pertama termasuklah kumpulan saya iaitu Kuda Kepang dan Keroncong. Sememangnya pembentangan dan penyampaian kumpulan keroncong adalah sangat menarik dan memberi lebih input. Diharapkan pembentangan seterusnya akan memberi pengetahuan baru kepada saya.

Pada minggu ke-8 ini, pembentangan kumpulan ketiga diadakan. Pada kali ini hanya satu kumpulan sahaja yang membentang. Oleh hal yang demikian, sesi pembentangan menjadi lebih menarik dan banyak maklumat baru dapat diperolehi. Pembentangan ini mengupas berkenaan dengan Menora. Pada pandangan saya sendiri, ini adalah kali pertama saya mendengar dan mengetahui kewujudan seni Menora. Berdasarkan pembentangan tersebut, Menora berasal daripada Songkla, Thailand. Kemudiannya seni ini berkembang pesatnya di Malaysia terutama di Kelantan dan Kedah iaitu lebih tertumpu di Bachok dan Tumpat. Semasa pembentangan, terdapat beberapa aspek yang diperjelaskan oleh pembentang seperti sejarah menora, alat muzik yang digunakan, contoh-contoh persembahan menora, pakaian, aksesori yang digunakan di dalam menora. Semasa pembentangan, dapat juga dilihat perbezaan di antara menora Melayu dan Menora Thailand. Perbezaan ini contohnya dapat dilihat dari aspek penggunaan mahkota atau kecopong (cha da). Corak kecopong menora melayu adalah bertelinga manakala kecopong Thailand tidak ada telinga. Diterangkan bahawa terdapat 12 tarian asal dan sampai sekarang lagi ia masih kekal 12 tarian. Tarian ini adalah bergantung kepada corak penceritaan dalam persembahan menora.

Seni Menora ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis persembahan iaitu ritual, keagamaan dan hiburan. Dari sudut keagamaan, Menora adalah popular dalam kalangan agama Buddha. Seperti juga kebanyakkan seni muzik tradisional yang lain, ia tidak dapat lari daripada unsur anamisme dalam acara muzik mereka. Aslinya ciri-ciri menora ini seperti adanya upacara buka panggung dan beberapa adat atau pantang larang yang perlu diikuti. Contohnya memerlukan darah binatang, penggunaan sireh dan lilin. Namun seiring dengan pemodenan dan peredaran zaman, menora mengalami beberapa perubahan seperti penambahan dalam alat muzik, terhakisnya ciri-ciri anamisme dan sebagainya. Hal ini bertujuan supaya menora dapat diterima oleh masyarakat Malaysia sebagai satu seni persembahan tradisional.

Pada akhir kuliah, kami disajikan dengan lakonan oleh para pembentang bagi menzahirkan perjalanan sejarah kewujudan seni menora. Hal ini memberikan lebih kefahaman kepada saya. Tahniah kepada kumpulan menora atas input yang padat dan menarik.

Semoga pembentangan seterusnya akan memberi pertambahan maklumat.
Teruskan Membaca...

Tuesday, August 31, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum..


Salam Ramadhan...Salam aidilfitri yang bakal menjelang. Ingin juga saya ucapkan Salam Merdeka kepada semua rakyat Malaysia dan tahniah atas kemerdekaan yang ke-53. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.
Minggu 7 ini sememangnya minggu yang sangat sibuk dalam membuat persediaan pembentangan serta menyiapkan tugasan yang diberikan. Namun, alhamdulillah di akhir kelas, segalanya berjalan dengan lancar. Kepada rakan-rakan kuda kepang, tahniah kepada semua. Semoga pengalaman kita di dalam kelas pengayaan diri Muzik Tradisional ini akan memberi seribu makna kepada kita semua. Insyaallah.
Pada minggu 6, saya telah pun mengetahui berkenaan Makyong dan Kompang. Pembelajaran pada hari tu sangat menarik. Tambahan lagi di akhir kelas, saya dan rakan-rakan diberi peluang untuk bermain kompang. Sejujurnya itu adalah kali pertama saya bermain kompang itu dan mengetahui pengetahuan berkenaan kompang. Terima kasih kepada pensyarah, En Amran kerana memberi peluang dan pengalaman sebegini kepada saya. Diharapkan pada minggu-minggu seterusnya, pembelajaran akan lebih menarik dan memberi pengalaman baru.


Pada minggu 7, 25 0gos 2010, diadakan pembentangan pertama bagi kumpulan hari Rabu. Dan saya adalah ahli di dalam kumpulan kedua iaitu Kuda Kepang yang membuat pembentangan. Pembentangan pertama iaitu berkisar kepada tajuk Keroncong. Pembentangan itu sangat menarik kerana pengisian pengetahuan yang sangat terperinci terutamanya dari aspek instrumen yang digunakan. Penerngan oleh setiap ahli kumpulan keroncong itu juga sangat baik dan boleh difahami penyampaiannya. Tahniah kepada kumpulan Keroncong.



Semasa pembentangan kumpulan keroncong itu, awalnya kami didedahkan dengan istilah keroncong yang sangat pelbagai, kemudiannya sejarah keroncong. Ia dikatakan dibawa oleh orang Portugis ke Asia Tenggara. Masyarakat ketika itu menyesuaikan permainan alat muzik barat itu ke dalam muzik masyarakat mereka. Akhirnya telah menghasilkan muzik keroncong. Seterusnya penerangan secara terperinci berkenaan cuk, cak. Begitu juga diadakan demo supaya pelajar lain dapat memahami dengan mudah dan jelas.
Sedikit berkenaan pembentangan kuda kepang, ia berkisarkan mengenai sejarah permainan kuda kepang, alat muzik yang digunakan, muzik yang digunakan, kostum penari kuda kepang, pantang larang yang terdapat di dalam kuda kepang, serta hasil kajian lapangan.



Diharapkan En Amran berpuas hati dengan hasil pembentangan kami. Ibarat, kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan. Diharapkan pembentangan pada minggu 8 mengupas intipati yang lebih menarik dan memberikan pengetahuan baru kepada saya. Bagi mereka yang akan membentang seterusnya, gud luck diucapkan.






Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP A

  • JURNAL REFLEKSI KESELURUHAN - Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua. Setelah 14 minggu dalam tempoh kuliah, akhirnya kelas SMP2252 Muzik Tradisional Malaysia berakhir deng...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir da...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.. Setelah 14 minggu mengikuti kursus muzik tradisional malaysia,saya dapat membuat kesimpulan bahawa kuliah ini banyak...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi: Minggu ke 14 - Salam diucapkan kepada semua rakan-rakan dan kepada pensyarah kita En. Amran. Ini merupakan jurnal terakhir dan menandakan berakhirnya kuliah pada minggu k...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI MINGGU 14 - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua, tanpa kita sedari, telah 14 minggu kita semua bersama menelusuri ilmu berkaitan dengan muzik tradisiona...
    5 years ago
  • Jurnal Refleksi : Minggu 14 - Refleksi pada minggu ini merupakan refleksi minggu yang terakhir bagi kelas SMP 2252. Terdapat banyak perkara baru yang diperoleh selama 14 minggu menye...
    5 years ago
  • MINGGU 14:JURNAL REFLEKSI - Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua terutama pensyarah kita, En. Amran Aris. Pejam celik pejam celik, rupanya sudah sampai minggu ke-14 dan mi...
    5 years ago
  • Reflesksi Keseluruhan - Sudah 14 minggu bersama dalam mengikuti kuliah muzik tradisional. Pelbagai reaksi dan gelagat melalui pembelaran kursus ini. Pembelajaran dalam kuliah-kuli...
    5 years ago
  • JURNAL REFLEKSI - Bunyi adalah penting dalam mencipta sesuatu irama di dalam muzik. Dengan menyusun bunyi yang betul maka akan terbinanya muzik itu. Bunyi yang terhasil ada...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : MOHAMAD KHAZIL BIN WASLI NO.MATRIK : D20072031485 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252-MALAYSIAN...
    6 years ago
  • BIODATA - NAMA : ZAHARAH BINTI MUSA NO.MATRIK : D20072031542 PROGRAM : PENGAJIAN MALAYSIA DENGAN PENDIDIKAN KUMPULAN : A SEMESTER : 6 SUBJEK : SMP2252 - MUZIK TRA...
    6 years ago

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252nurulliyana Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template