Thursday, August 19, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.


Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ingin saya kongsikan sedikit kata-kata yang bermakna.

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu adalah sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muzik jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu, dan menyediakan waktu beribadat kerana itu adalah ibu bagi segala ketenagan jiwa". Kepada rakan-rakan semua, setiap perkata positif yang dilakukan itu, ada hikmahnya kepada diri kita.




Seperti minggu sebelumnya, kali ini akan saya coretkan serba sedikit refleksi dari kuliah pada minggu 6 ini. Sebelum itu, pada sesi kuliah kelima, saya telah pun mengetahui secara asasnya berkenaan dengan Gamelan dan Caklempong. Bukan sahaja saya mempelajari teori, bahkan saya berpeluang merasai bermain alat muzik gamelan itu. Ia merupakan pengalaman yang sangat menarik dan akan diingati. Kuliah yang dihadiri semakin menarik pada setiap minggu. Apa yang ingin saya ketahui pada kuliah berikutnya adalah berkenaan muzik tradisional yang lain seperti Makyung dan Kompang.




18 Aug 2010, kuliah berjalan seperti biasa. Pada kali ini fokus kuliah adalah berkenaan tajuk Makyung dan Kompang. Secara jujurnya, ini adalah kali pertama saya melihat apakah itu makyung dari sudut yang dekat. Berbeza dengan kompang yang lebih dekat dengan masyarakat. Kuliah pada minggu keenam ini membincangkan berkenaan sejarah , persembahan,
alat muzik, dan muzik yang digunakan di dalam Makyung dan Kompang.





Awalnya, kuliah dimulakan dengan penerangan berkenaan Makyung. En Amran menayangkan beberapa video dan meminta pelajar mengenalpasti jenis persembahan tersebut. Hasilnya, video 1 dan 3 adalah persembahan Makyung. Makyung adalah berada dalam kategori seni lakon yang sangat kuno serta dipengaruhi unsur mitos dan lagenda. Persembahan Makyung mengutamakan dialog, tarian, muzik, dan instrumental. Penceritaan adalah dilakonkan oleh manusia. Makyung adalah seni persembahan yang sangat masyhur dan merupakan satu-satunya yang diiktiraf oleh UNESCO.



Makyung berasal dari Patani dan kemudian tersebar luas sehingga sampai ke Kelantan dan Kedah. Ia mempunyai hubung kait dengan semangat padi. Kesemua pelakon di dalam Makyung adalah perempuan. Pada waktu itu, Raja dan para hulubalalang istana pergi berperang, oleh itu, Makyung diwujudkan supaya isi istana (kaum wanita) tidak sunyi. Namun disyaratkan oleh Raja supaya hanya perempuan yang berlakon. Hal ini kerana dikhuatiri wanita istana terpikat jika lelaki gagah yang berlakon. Pada zaman dahulu, Makyung dipersembahkan untuk beberapa tujuan seperti penyembuhan penyakit, penyembahan guru. Di dalam persembahan Makyung, rebab adalah sangat penting sehinggakan semasa buka panggung, ia mesti menghadap rebab. Ini sebagai simbol penghormatan kepada rebab. Rebab yang digunakan adalah rebab 3 tali. Instrumen lain seperti gendang, tetawak, serunai, geduk dan canai. Dikatakan bahawa, jika hendak bermain rebab mestilah bersila dan menghadap matahari. Di dalam persembahan Makyung, mode lagu persembahan mempunyai peranan tertentu. Contohnya lagu Ela untuk menyampaikan cerita dan berita. Irama makyung menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting). Tekstur makyung adalah heterofoni.









Seterusnya kuliah berkenaan dengan kompang. Pengetahuan sedia ada tentang kompang hanyalah sekadar mengetahui kompang itu sering digunakan untuk menyambut tetamu kehormat dalam sesebuah majlis, mengalu-alukan kedatangan pengantin serta majlis-majlis lain. Di dalam kuliah ini baru saya ketahui wujud kompang formasi, Ia sangat menarik untuk melihat persembahan kompang seperti gaya berkawat formasi.Kompang berasal dari kebudayaan Arab dan juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, duff, tar atau bendir. Terdapat 2 pendapat berkenaan sejarah kompang. Iaitu yang pertama bentuknya sama dengan hadrah yang terdapat di Arab. Kedua, lirik lagu kebiasaannya dalam bahasa Arab, contohnya selawat ke atas Nabi Muhammad. Kompang ini dibawa oleh pedagang Arab ke Nusantara dan dimainkan bagi menarik pembeli dan kemudian menjadi ikutan masyarakat tempatan. Permainan kompang ini mempunyai adab yang perlu diikuti seperti pemakaian, tidak boleh menelentang dan melambung kompang, dan sebagainya. Permukaan kompang itu diperbuat daripada kulit kambing betina. Fungsi kompang seperti mengiringi nyanyian kumpulan atau solo, majlis masyarakat seperti berkhatan, kenduri kahwin, dan lain-lain. Terdapat empat jenis permainan kompang iaitu Kompang Hadrah, Kompang Johor, Kompang Eizhar, Kompang Kelalang. Kompang boleh diperolehi dalam pelbagai saiz mengikut peringkat umur. Di dalam kuliah ini juga, say didedahkan dengan cara bermain kompang secara asasnya. Termasuk juga pengetahuan mengenai cara penjagaan kompang, penalaan kompang, serta rentak kompang seperti inang asas, masri asas dan asli asas.






Pada ketika +-20 minit terakhir kuliah, kami diberi peluang untuk bermain kompang. Bagi diri saya sendiri, ini merupakan kali pertama saya memegang dan bermain kompang. Walaupun hanya sekadar belajar teori dan cara bermain dalam masa yang singkat, namun, berhasil juga untuk membunyikan kompang itu sebagaimana rakan muzik yang lain walaupun tidak sempurna bunyinya. Ini adalah satu lagi pengalaman yang akan diingati.

Kesimpulannya kuliah minggu 6 ini adalah sangat menarik. Penambahan pengetahuan dan pengukuhan pengetahuan sedia ada boleh dilakukan dengan membaca artikel berkenaan muzik tradisional yang telah dipelajari. :)
Teruskan Membaca...

Monday, August 16, 2010

MINGGU 5: REFLEKSI JURNAL


ASSALAMUALAIKUM..


Pengalaman itu adalah guru yang terbaik. Setiap apa yang dialami, dilihat, didengar adalah merupakan proses pembelajaran seseorang manusia samada ia berlaku secara sengaja mahupun tidak sengaja. Secara formalnya di dalam pembelajaran yang lepas, saya telah pun mengetahui mengenai seni Wayang Kulit yang penuh dengan keunikan. Dimbas serba sedikit, Wayang Kulit ini mempunyai empat jenis iaitu, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Jawa, Wayang Kulit Kelantan dan Wayang Kulit Melayu. Apa yang menarik di dalam wayang kulit ini boleh dinilai daripada aspek bahasa yang digunakan, watak ukiran patung, penceritaan, pergerakan patung, muzik dan alatan muzik yang digunakan serta gerakan sendi tangan patung tersebut. Di antara empat jenis wayang kulit ini, wujud beberapa perbezaan. Contohnya, posisi muka bagi wayang gedek adalah menghadapa ke hadapan berbeza dengan wayang kulit jenis lain.


Pengetahuan berkenaan Muzik Tradisional ini semakin bertambah. Namun, masih perlu dilakukan pengukuhan dari diri saya sendiri. Seterusnya apa yang saya ingin tahu di dalam pembelajaran seterusnya adalah berkenaan dengan Muzik Gamelan dan Caklempong.


11 Ogos 2010. Kuliah berjalan seperti biasa. Kali ini tajuk perbincangan adalah sangat menarik, iaitu Gamelan dan Caklempong. Awalnya kami disajikan dengan video gamelan Bali yang mempunyai perkaitan dengan keagamaan. Umumnya, enam perkara utama yang dipelajari adalah sejarah dan jenis-jenis gamelan, alat muzik gamelan, sistem tonal, melodi, bentuk, tekstur, sejarah caklempong, alat muzik caklempong, sistem tonal, melodi, irama, bentuk.


Perkataan gamelan itu berasal dari Jawa yang bermaksud pukul. Muzik gamelan ini dapat dilihat di dalam persembahan wayang kulit Jawa serta kuda kepang. Persembahan gamelan itu menjadi lengkap apabila dilakukan dalam kumpulan. Menurut sejarah, muzik gamelan telah berkembang sejak awal Tamadun Melayu. Ianya dipersembahkan dalam sesuatu majlis, keagamaan, keraian dan sebagainya. Di dalam Gamelan Melayu, ia diiringi oleh tarian asyik. Seterusnya saya turut mengetahui mengenai jenis gamelan iaitu Jawa dan Melayu. Gamelan Melayu ini juga disebut Gamelan terengganu yang kemudiannya Pahang atas ikatan perkahwinan. Selain itu, saya mengetahui secara asas sistem talaan, fungsi alat muzik, sejarah gamelan jawa, alat muzik jawa, dan seterusnya perbezaan yang terdapat di antara gamelan Jawa dengan Melayu dari sudut instrumen. Apa yang menarik di dalam gamelan ini, sistem tarian dahulu adalah menggunakan manuskrip yang dipelajari secara hafalan dan peniruan. Hal ini menunjukkan kreativiti masyarakat dahulu dalam menyampaikan ilmu. Begitu juga apabila memasuki tajuk Caklempong, saya mengetahui serba sedikit mengenai sejarah caklempong, alat muzik yang digunakan seperti bonang, gereteh, gendang dan lain-lain.











Setelah selesai mempelajari teori caklempong dan gamelan, saya dan rakan-rakan dibawa ke bilik muzik dan berpeluang merasai sendiri bermain alat muzik tradsional gemelan itu. Ini adalah sebuah pengalaman yang sangat menarik pastinya. Pertama kali dalam hidup saya berpeluang memegang alat muzik seperti saron barung, bonang. Walaupun saya tidak pernah tahu untuk bermain alat itu, namun dengan bantuan rakan muzik yang lain, saya berhasil juga untuk mempelajari cara bermainnya. Disebalik ketidaksempurnaan semasa bermain alat muzik itu, terselit rasa puas hati dan gembira. Dalam erti kata lain, muzik itu menyeronokkan apabila dipelajari. Ibarat kata pujangga, tak kenal maka tak cinta.


Semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak sebenarnya perkara yang tidak diketahui. Oleh hal yang demikian, banyak lagi perkara berkaitan muzik tradisional ini yang perlu dicari ilmunya. Apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang pelajar adalah terus mencari dan menambah ilmu.


Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP A

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252nurulliyana Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template