Thursday, August 19, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.


Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ingin saya kongsikan sedikit kata-kata yang bermakna.

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu adalah sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muzik jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu, dan menyediakan waktu beribadat kerana itu adalah ibu bagi segala ketenagan jiwa". Kepada rakan-rakan semua, setiap perkata positif yang dilakukan itu, ada hikmahnya kepada diri kita.




Seperti minggu sebelumnya, kali ini akan saya coretkan serba sedikit refleksi dari kuliah pada minggu 6 ini. Sebelum itu, pada sesi kuliah kelima, saya telah pun mengetahui secara asasnya berkenaan dengan Gamelan dan Caklempong. Bukan sahaja saya mempelajari teori, bahkan saya berpeluang merasai bermain alat muzik gamelan itu. Ia merupakan pengalaman yang sangat menarik dan akan diingati. Kuliah yang dihadiri semakin menarik pada setiap minggu. Apa yang ingin saya ketahui pada kuliah berikutnya adalah berkenaan muzik tradisional yang lain seperti Makyung dan Kompang.




18 Aug 2010, kuliah berjalan seperti biasa. Pada kali ini fokus kuliah adalah berkenaan tajuk Makyung dan Kompang. Secara jujurnya, ini adalah kali pertama saya melihat apakah itu makyung dari sudut yang dekat. Berbeza dengan kompang yang lebih dekat dengan masyarakat. Kuliah pada minggu keenam ini membincangkan berkenaan sejarah , persembahan,
alat muzik, dan muzik yang digunakan di dalam Makyung dan Kompang.





Awalnya, kuliah dimulakan dengan penerangan berkenaan Makyung. En Amran menayangkan beberapa video dan meminta pelajar mengenalpasti jenis persembahan tersebut. Hasilnya, video 1 dan 3 adalah persembahan Makyung. Makyung adalah berada dalam kategori seni lakon yang sangat kuno serta dipengaruhi unsur mitos dan lagenda. Persembahan Makyung mengutamakan dialog, tarian, muzik, dan instrumental. Penceritaan adalah dilakonkan oleh manusia. Makyung adalah seni persembahan yang sangat masyhur dan merupakan satu-satunya yang diiktiraf oleh UNESCO.



Makyung berasal dari Patani dan kemudian tersebar luas sehingga sampai ke Kelantan dan Kedah. Ia mempunyai hubung kait dengan semangat padi. Kesemua pelakon di dalam Makyung adalah perempuan. Pada waktu itu, Raja dan para hulubalalang istana pergi berperang, oleh itu, Makyung diwujudkan supaya isi istana (kaum wanita) tidak sunyi. Namun disyaratkan oleh Raja supaya hanya perempuan yang berlakon. Hal ini kerana dikhuatiri wanita istana terpikat jika lelaki gagah yang berlakon. Pada zaman dahulu, Makyung dipersembahkan untuk beberapa tujuan seperti penyembuhan penyakit, penyembahan guru. Di dalam persembahan Makyung, rebab adalah sangat penting sehinggakan semasa buka panggung, ia mesti menghadap rebab. Ini sebagai simbol penghormatan kepada rebab. Rebab yang digunakan adalah rebab 3 tali. Instrumen lain seperti gendang, tetawak, serunai, geduk dan canai. Dikatakan bahawa, jika hendak bermain rebab mestilah bersila dan menghadap matahari. Di dalam persembahan Makyung, mode lagu persembahan mempunyai peranan tertentu. Contohnya lagu Ela untuk menyampaikan cerita dan berita. Irama makyung menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting). Tekstur makyung adalah heterofoni.









Seterusnya kuliah berkenaan dengan kompang. Pengetahuan sedia ada tentang kompang hanyalah sekadar mengetahui kompang itu sering digunakan untuk menyambut tetamu kehormat dalam sesebuah majlis, mengalu-alukan kedatangan pengantin serta majlis-majlis lain. Di dalam kuliah ini baru saya ketahui wujud kompang formasi, Ia sangat menarik untuk melihat persembahan kompang seperti gaya berkawat formasi.Kompang berasal dari kebudayaan Arab dan juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, duff, tar atau bendir. Terdapat 2 pendapat berkenaan sejarah kompang. Iaitu yang pertama bentuknya sama dengan hadrah yang terdapat di Arab. Kedua, lirik lagu kebiasaannya dalam bahasa Arab, contohnya selawat ke atas Nabi Muhammad. Kompang ini dibawa oleh pedagang Arab ke Nusantara dan dimainkan bagi menarik pembeli dan kemudian menjadi ikutan masyarakat tempatan. Permainan kompang ini mempunyai adab yang perlu diikuti seperti pemakaian, tidak boleh menelentang dan melambung kompang, dan sebagainya. Permukaan kompang itu diperbuat daripada kulit kambing betina. Fungsi kompang seperti mengiringi nyanyian kumpulan atau solo, majlis masyarakat seperti berkhatan, kenduri kahwin, dan lain-lain. Terdapat empat jenis permainan kompang iaitu Kompang Hadrah, Kompang Johor, Kompang Eizhar, Kompang Kelalang. Kompang boleh diperolehi dalam pelbagai saiz mengikut peringkat umur. Di dalam kuliah ini juga, say didedahkan dengan cara bermain kompang secara asasnya. Termasuk juga pengetahuan mengenai cara penjagaan kompang, penalaan kompang, serta rentak kompang seperti inang asas, masri asas dan asli asas.






Pada ketika +-20 minit terakhir kuliah, kami diberi peluang untuk bermain kompang. Bagi diri saya sendiri, ini merupakan kali pertama saya memegang dan bermain kompang. Walaupun hanya sekadar belajar teori dan cara bermain dalam masa yang singkat, namun, berhasil juga untuk membunyikan kompang itu sebagaimana rakan muzik yang lain walaupun tidak sempurna bunyinya. Ini adalah satu lagi pengalaman yang akan diingati.

Kesimpulannya kuliah minggu 6 ini adalah sangat menarik. Penambahan pengetahuan dan pengukuhan pengetahuan sedia ada boleh dilakukan dengan membaca artikel berkenaan muzik tradisional yang telah dipelajari. :)

1 comments:

SMP2252 LUBNA on August 22, 2010 at 2:36 PM said...

salam ramadhan....
tahniah kerana anda berjaya membuat refleksi yang menarik dan mudah difahami..=p

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMP A

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252nurulliyana Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template