Tuesday, September 7, 2010

MINGGU 8: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.

salam lebaran kepada semua.

Alhamdulillah, walaupun di dalam suasana cuti menyambut aidilfitri ini. masih lagi berkesempatan untuk melaksanakan tugas setiap minggu seperti biasa. Terlebih dahulu, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat En Amran dan rakan sekalian. Semoga lebaran kali ini memberi lebih kebahagiaan buat semua.

Pembentangan kumpulan telah pun dijalankan sejak minggu lepas. Kumpulan yang membentang pada sesi pertama termasuklah kumpulan saya iaitu Kuda Kepang dan Keroncong. Sememangnya pembentangan dan penyampaian kumpulan keroncong adalah sangat menarik dan memberi lebih input. Diharapkan pembentangan seterusnya akan memberi pengetahuan baru kepada saya.

Pada minggu ke-8 ini, pembentangan kumpulan ketiga diadakan. Pada kali ini hanya satu kumpulan sahaja yang membentang. Oleh hal yang demikian, sesi pembentangan menjadi lebih menarik dan banyak maklumat baru dapat diperolehi. Pembentangan ini mengupas berkenaan dengan Menora. Pada pandangan saya sendiri, ini adalah kali pertama saya mendengar dan mengetahui kewujudan seni Menora. Berdasarkan pembentangan tersebut, Menora berasal daripada Songkla, Thailand. Kemudiannya seni ini berkembang pesatnya di Malaysia terutama di Kelantan dan Kedah iaitu lebih tertumpu di Bachok dan Tumpat. Semasa pembentangan, terdapat beberapa aspek yang diperjelaskan oleh pembentang seperti sejarah menora, alat muzik yang digunakan, contoh-contoh persembahan menora, pakaian, aksesori yang digunakan di dalam menora. Semasa pembentangan, dapat juga dilihat perbezaan di antara menora Melayu dan Menora Thailand. Perbezaan ini contohnya dapat dilihat dari aspek penggunaan mahkota atau kecopong (cha da). Corak kecopong menora melayu adalah bertelinga manakala kecopong Thailand tidak ada telinga. Diterangkan bahawa terdapat 12 tarian asal dan sampai sekarang lagi ia masih kekal 12 tarian. Tarian ini adalah bergantung kepada corak penceritaan dalam persembahan menora.

Seni Menora ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis persembahan iaitu ritual, keagamaan dan hiburan. Dari sudut keagamaan, Menora adalah popular dalam kalangan agama Buddha. Seperti juga kebanyakkan seni muzik tradisional yang lain, ia tidak dapat lari daripada unsur anamisme dalam acara muzik mereka. Aslinya ciri-ciri menora ini seperti adanya upacara buka panggung dan beberapa adat atau pantang larang yang perlu diikuti. Contohnya memerlukan darah binatang, penggunaan sireh dan lilin. Namun seiring dengan pemodenan dan peredaran zaman, menora mengalami beberapa perubahan seperti penambahan dalam alat muzik, terhakisnya ciri-ciri anamisme dan sebagainya. Hal ini bertujuan supaya menora dapat diterima oleh masyarakat Malaysia sebagai satu seni persembahan tradisional.

Pada akhir kuliah, kami disajikan dengan lakonan oleh para pembentang bagi menzahirkan perjalanan sejarah kewujudan seni menora. Hal ini memberikan lebih kefahaman kepada saya. Tahniah kepada kumpulan menora atas input yang padat dan menarik.

Semoga pembentangan seterusnya akan memberi pertambahan maklumat.

0 comments:

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMP A

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252nurulliyana Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template