Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada En Amran kerana memberi saya ruang dan peluang untuk mengikuti kursus ini walaupun semasa itu ahli kelas sudah ramai. Mengenai Muzik Tradisional, secara umumnya, saya tidak langsung mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebelum ini, saya tidak pernah mengambil bahagian dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan muzik, apatah lagi Muzik Tradisional. Pengetahuan saya tentang muzik hanyalah ibarat senipis lapisan kulit bawang. Dan boleh juga dikatakan sifar. Saya hanya pernah mendengar sepintas lalu muzik-muzik tradisional tanpa sebarang minat untuk mengetahuinya lebih mendalam.
Maka, apabila saya mendaftar untuk mengikuti kursus ini, besarlah harapan saya untuk melihat dan mengetahui keistimewaan muzik tradisional itu. Apa ada pada muzik?. Mengapa ramai orang yang berminat ke arahnya. Tambahan lagi sebagai seorang yang berkecimpung dalam sejarah, tradisonal itu berada pada ruang lingkup yang bertitik tolak pada zaman dahulu atau dalam kata lain, bersifat lama, antik dan pastinya menarik untuk diketahui. Tambahan lagi, apa yang menarik dalam kursus ini iaitu ia menggunakan blogger dalam menyelesaikan tugasan.
21 Julai 2010, pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam kawasan Fakulti Seni Muzik untuk menghadiri kelas. Kuliah yang pertama saya hadiri ini sangat menarik dan memberikan saya persepsi baru mengenai apa itu Muzik Tradisional. Pertamanya, saya didedahkan untuk membuat blog dan cara untuk membuatnya. Kemudian, kuliah bermula dengan memperihalkan mengenai 5 perkara iaitu Soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan juga konsep atau struktur.
Selama 2 jam itu, saya belajar bagaimana untuk memfokuskan pendengaran pada bunyi-bunyi yang ada pada sekeliling. Rupa-rupanya bunyi yang dihasilkan oleh alam semulajadi itu jika dihayati adalah sangat menarik. Termasuklah juga alunan merdu perut yang kelaparan. Jika sebelumnya, setiap bunyi-bunyian itu bagi saya adalah sesuatu yang tiada nilai dan tidak perlu dihayati dan kadangkala sangat membingitkan telinga. Tetapi sebenarnya, bunyi yang dikatakan menggangu ketenteraman awam itu, jika diberi makna dan digabungkan akan menghasilkan muzik yang sangat menarik. Itu adalah antara hasil dapatan daripada pembelajaran saya sepanjang kuliah itu.
Adakah muzik itu universal?. Tanpa ilmu mengenainya, kita tidak boleh mengatakan ia adalah universal. Melalui kuliah ini juga, saya melihat bagaimana sesebuah komuniti itu menyalurkan budaya mereka di dalam muzik. Jadi dapat dilihat keunikan setiap komuniti yang mempunyai muzik mereka tersendiri. Bukan sahaja muzik di Malaysia berbeza dengan negara Barat mahupun Timur, malahan negeri-negeri di Malaysia itu sendiri adalah berbeza muziknya.
Muzik itu adalah antara budaya masyarakat. Zaman dahulu kala, manusia awal hidup berpindah randah untuk kelangsungan hidup mereka (survivor). Mereka membina sistem sosial mereka sendiri yang akhirnya mewujudkan sebuah tamadun. Sistem sosial ini termasuklah budaya. Mereka mewujudkan muzik berpandukan budaya dan kepercayaan (anamisme) mereka yang menjadi identiti mereka.
Apabila manusia itu sudah mula berfikir jauh, mereka mula mengadakan interaksi sosiobudaya yang akhirnya menghasilkan kepelbagaian genre. Contohnya semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, wujudnya asimilasi budaya yang lahir kesan daripada akiviti perdagangan(Arab, China,Eropah), perkahwinan dan juga penjajahan. Kedatangan orang asing ini bukan sahaja mewujudkan kepelbagaian kaum tetapi turut membawa budaya mereka dan disebarkan kepada kelompok masyarakat sekitarnya. Disebabkan itu ahli arkeologi menjumpai artifak yang dipercayai asalnya datang daripada negara China, Arab dan sebagainya.
Di dalam kuliah ini juga, saya didedahkan dengan alat-alat muzik tradisional. Setiap alat muzik ini mempunyai kategori tersendiri. Semestinya saya tidak pernah mendengar istilah tersebut dan agak sukar untuk memahaminya. Contohnya seperti istilah "membranofon". Ilmu baru seperti ini pastinya menarik untuk diketahui.
Seterusnya saya dapat mengetahui secara asasnya struktur atau konsep muzik. Namun perkara-perkara ini tidak saya faham sepenuhnya. Contohnya seperti konsep melodi, skel, interval, pic dan banyak lagi. Namun, dengan penerangan En.Amran, saya mengetahui serba sedikit mengenainya.
Keseluruhannya, kuliah ini amat menarik dan dapat memberi pengetahuan baru kepada saya. diharapkan kuliah seterusnya akan memberi lebih kefahaman kepada saya mengenai Muzik Tradisional ini. Dari pihak diri saya sendiri, pastinya saya akan berusaha untuk menghayati nilai estetika sesebuah muzik itu.
4 comments:
Salam.
Sangat menarik apa yang anda coretkan.
Saya mahu bertanyakan soalan kepada anda.
Adakah pada zaman dahulu kala, sewaktu masyarakatnya mengamalkan kepercayaan animisme muzik telah wujud?
Tahniah!! Ulasan yang menarik daripada anda. Teruskan membuat refleksi sebegini.
Assalamualaikum liyana..
Coretan kamu amat menarik sekali. Saya berharap selepas menghadiri kuliah seterusnya kita sama-sama lebih mengenali muzik tradisional di Malaysia. Ingin saya tegaskan di sini bahawa cuk dan cak adalah 2 jenis alat muzik yang berbeza.
:)
salam.
Terima ksh kpd saudari suhadah atas komen dan pertanyaan tersebut.
sememangnya muzik itu telah wujud sejad adanya kepercayaan anamisme. Kepercayaan anamisme ini iaitu percaya kepada semangat makhluk halus dan roh. masyarakat tradisional ini percaya bahawa setiap benda dalam alam semula jadi ini mempunyai semangat yang harus dipuja dan dihormati. contohnya batu besar, pokok, gua dan lain-lain. Pemujaan roh dan semangat ini akan memastikan ahli masyarakat dilindungi dari musibah dan gangguan roh jahat.
Disebabkan oleh kepercayaan ini, dapat dilihat wujudnya upacara ritual seperti upacara semangat padi dan sebagainya.
Contohnya kepercayaan anamisme dalam suku masyarakat Bidayuh yang mendiami barat daya Sarawak.Bagi masyarakat Bidayuh, muzik memainkan peranan penting dalam upacara keagamaan yang mereka jalankan. Muzik ini adalah untuk menaikkan semangat dan mengusir roh dan semangat jahat (anamisme). Muzik juga menjadi simbol dan motif kepada upacara pemujaan yang dijalankan. Alatan muzik tradisional ini antaranya seperti gong besar, canang, serunai, gitar buluh dan lain-lain.
Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh yang boleh memperlihatkan kewujudan muzik dalam masyarakat yang berkepercayaan anamisme. Pada ketika ini, mereka menterjemahkan atau menzahirkan kepercayaan mereka dalam bentuk upacara/ritual/muzik. Namun, muzik dalam skop ini umumnya adalah bercirikan kepercayaan atau keagamaan.
Diharapkan pandangan saya yang serba sidikit ini menjawab persoalan saudari. Insyaallah, jika ada sebarang pertambahan idea, bolehlah kita kongsikan bersama.
Terima kasih.
Post a Comment