Thursday, August 19, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum.


Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ingin saya kongsikan sedikit kata-kata yang bermakna.

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu adalah sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muzik jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu, dan menyediakan waktu beribadat kerana itu adalah ibu bagi segala ketenagan jiwa". Kepada rakan-rakan semua, setiap perkata positif yang dilakukan itu, ada hikmahnya kepada diri kita.




Seperti minggu sebelumnya, kali ini akan saya coretkan serba sedikit refleksi dari kuliah pada minggu 6 ini. Sebelum itu, pada sesi kuliah kelima, saya telah pun mengetahui secara asasnya berkenaan dengan Gamelan dan Caklempong. Bukan sahaja saya mempelajari teori, bahkan saya berpeluang merasai bermain alat muzik gamelan itu. Ia merupakan pengalaman yang sangat menarik dan akan diingati. Kuliah yang dihadiri semakin menarik pada setiap minggu. Apa yang ingin saya ketahui pada kuliah berikutnya adalah berkenaan muzik tradisional yang lain seperti Makyung dan Kompang.




18 Aug 2010, kuliah berjalan seperti biasa. Pada kali ini fokus kuliah adalah berkenaan tajuk Makyung dan Kompang. Secara jujurnya, ini adalah kali pertama saya melihat apakah itu makyung dari sudut yang dekat. Berbeza dengan kompang yang lebih dekat dengan masyarakat. Kuliah pada minggu keenam ini membincangkan berkenaan sejarah , persembahan,
alat muzik, dan muzik yang digunakan di dalam Makyung dan Kompang.





Awalnya, kuliah dimulakan dengan penerangan berkenaan Makyung. En Amran menayangkan beberapa video dan meminta pelajar mengenalpasti jenis persembahan tersebut. Hasilnya, video 1 dan 3 adalah persembahan Makyung. Makyung adalah berada dalam kategori seni lakon yang sangat kuno serta dipengaruhi unsur mitos dan lagenda. Persembahan Makyung mengutamakan dialog, tarian, muzik, dan instrumental. Penceritaan adalah dilakonkan oleh manusia. Makyung adalah seni persembahan yang sangat masyhur dan merupakan satu-satunya yang diiktiraf oleh UNESCO.



Makyung berasal dari Patani dan kemudian tersebar luas sehingga sampai ke Kelantan dan Kedah. Ia mempunyai hubung kait dengan semangat padi. Kesemua pelakon di dalam Makyung adalah perempuan. Pada waktu itu, Raja dan para hulubalalang istana pergi berperang, oleh itu, Makyung diwujudkan supaya isi istana (kaum wanita) tidak sunyi. Namun disyaratkan oleh Raja supaya hanya perempuan yang berlakon. Hal ini kerana dikhuatiri wanita istana terpikat jika lelaki gagah yang berlakon. Pada zaman dahulu, Makyung dipersembahkan untuk beberapa tujuan seperti penyembuhan penyakit, penyembahan guru. Di dalam persembahan Makyung, rebab adalah sangat penting sehinggakan semasa buka panggung, ia mesti menghadap rebab. Ini sebagai simbol penghormatan kepada rebab. Rebab yang digunakan adalah rebab 3 tali. Instrumen lain seperti gendang, tetawak, serunai, geduk dan canai. Dikatakan bahawa, jika hendak bermain rebab mestilah bersila dan menghadap matahari. Di dalam persembahan Makyung, mode lagu persembahan mempunyai peranan tertentu. Contohnya lagu Ela untuk menyampaikan cerita dan berita. Irama makyung menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting). Tekstur makyung adalah heterofoni.









Seterusnya kuliah berkenaan dengan kompang. Pengetahuan sedia ada tentang kompang hanyalah sekadar mengetahui kompang itu sering digunakan untuk menyambut tetamu kehormat dalam sesebuah majlis, mengalu-alukan kedatangan pengantin serta majlis-majlis lain. Di dalam kuliah ini baru saya ketahui wujud kompang formasi, Ia sangat menarik untuk melihat persembahan kompang seperti gaya berkawat formasi.Kompang berasal dari kebudayaan Arab dan juga dikenali sebagai Dufuf, Daff, duff, tar atau bendir. Terdapat 2 pendapat berkenaan sejarah kompang. Iaitu yang pertama bentuknya sama dengan hadrah yang terdapat di Arab. Kedua, lirik lagu kebiasaannya dalam bahasa Arab, contohnya selawat ke atas Nabi Muhammad. Kompang ini dibawa oleh pedagang Arab ke Nusantara dan dimainkan bagi menarik pembeli dan kemudian menjadi ikutan masyarakat tempatan. Permainan kompang ini mempunyai adab yang perlu diikuti seperti pemakaian, tidak boleh menelentang dan melambung kompang, dan sebagainya. Permukaan kompang itu diperbuat daripada kulit kambing betina. Fungsi kompang seperti mengiringi nyanyian kumpulan atau solo, majlis masyarakat seperti berkhatan, kenduri kahwin, dan lain-lain. Terdapat empat jenis permainan kompang iaitu Kompang Hadrah, Kompang Johor, Kompang Eizhar, Kompang Kelalang. Kompang boleh diperolehi dalam pelbagai saiz mengikut peringkat umur. Di dalam kuliah ini juga, say didedahkan dengan cara bermain kompang secara asasnya. Termasuk juga pengetahuan mengenai cara penjagaan kompang, penalaan kompang, serta rentak kompang seperti inang asas, masri asas dan asli asas.






Pada ketika +-20 minit terakhir kuliah, kami diberi peluang untuk bermain kompang. Bagi diri saya sendiri, ini merupakan kali pertama saya memegang dan bermain kompang. Walaupun hanya sekadar belajar teori dan cara bermain dalam masa yang singkat, namun, berhasil juga untuk membunyikan kompang itu sebagaimana rakan muzik yang lain walaupun tidak sempurna bunyinya. Ini adalah satu lagi pengalaman yang akan diingati.

Kesimpulannya kuliah minggu 6 ini adalah sangat menarik. Penambahan pengetahuan dan pengukuhan pengetahuan sedia ada boleh dilakukan dengan membaca artikel berkenaan muzik tradisional yang telah dipelajari. :)
Teruskan Membaca...

Monday, August 16, 2010

MINGGU 5: REFLEKSI JURNAL


ASSALAMUALAIKUM..


Pengalaman itu adalah guru yang terbaik. Setiap apa yang dialami, dilihat, didengar adalah merupakan proses pembelajaran seseorang manusia samada ia berlaku secara sengaja mahupun tidak sengaja. Secara formalnya di dalam pembelajaran yang lepas, saya telah pun mengetahui mengenai seni Wayang Kulit yang penuh dengan keunikan. Dimbas serba sedikit, Wayang Kulit ini mempunyai empat jenis iaitu, Wayang Kulit Gedek, Wayang Kulit Jawa, Wayang Kulit Kelantan dan Wayang Kulit Melayu. Apa yang menarik di dalam wayang kulit ini boleh dinilai daripada aspek bahasa yang digunakan, watak ukiran patung, penceritaan, pergerakan patung, muzik dan alatan muzik yang digunakan serta gerakan sendi tangan patung tersebut. Di antara empat jenis wayang kulit ini, wujud beberapa perbezaan. Contohnya, posisi muka bagi wayang gedek adalah menghadapa ke hadapan berbeza dengan wayang kulit jenis lain.


Pengetahuan berkenaan Muzik Tradisional ini semakin bertambah. Namun, masih perlu dilakukan pengukuhan dari diri saya sendiri. Seterusnya apa yang saya ingin tahu di dalam pembelajaran seterusnya adalah berkenaan dengan Muzik Gamelan dan Caklempong.


11 Ogos 2010. Kuliah berjalan seperti biasa. Kali ini tajuk perbincangan adalah sangat menarik, iaitu Gamelan dan Caklempong. Awalnya kami disajikan dengan video gamelan Bali yang mempunyai perkaitan dengan keagamaan. Umumnya, enam perkara utama yang dipelajari adalah sejarah dan jenis-jenis gamelan, alat muzik gamelan, sistem tonal, melodi, bentuk, tekstur, sejarah caklempong, alat muzik caklempong, sistem tonal, melodi, irama, bentuk.


Perkataan gamelan itu berasal dari Jawa yang bermaksud pukul. Muzik gamelan ini dapat dilihat di dalam persembahan wayang kulit Jawa serta kuda kepang. Persembahan gamelan itu menjadi lengkap apabila dilakukan dalam kumpulan. Menurut sejarah, muzik gamelan telah berkembang sejak awal Tamadun Melayu. Ianya dipersembahkan dalam sesuatu majlis, keagamaan, keraian dan sebagainya. Di dalam Gamelan Melayu, ia diiringi oleh tarian asyik. Seterusnya saya turut mengetahui mengenai jenis gamelan iaitu Jawa dan Melayu. Gamelan Melayu ini juga disebut Gamelan terengganu yang kemudiannya Pahang atas ikatan perkahwinan. Selain itu, saya mengetahui secara asas sistem talaan, fungsi alat muzik, sejarah gamelan jawa, alat muzik jawa, dan seterusnya perbezaan yang terdapat di antara gamelan Jawa dengan Melayu dari sudut instrumen. Apa yang menarik di dalam gamelan ini, sistem tarian dahulu adalah menggunakan manuskrip yang dipelajari secara hafalan dan peniruan. Hal ini menunjukkan kreativiti masyarakat dahulu dalam menyampaikan ilmu. Begitu juga apabila memasuki tajuk Caklempong, saya mengetahui serba sedikit mengenai sejarah caklempong, alat muzik yang digunakan seperti bonang, gereteh, gendang dan lain-lain.











Setelah selesai mempelajari teori caklempong dan gamelan, saya dan rakan-rakan dibawa ke bilik muzik dan berpeluang merasai sendiri bermain alat muzik tradsional gemelan itu. Ini adalah sebuah pengalaman yang sangat menarik pastinya. Pertama kali dalam hidup saya berpeluang memegang alat muzik seperti saron barung, bonang. Walaupun saya tidak pernah tahu untuk bermain alat itu, namun dengan bantuan rakan muzik yang lain, saya berhasil juga untuk mempelajari cara bermainnya. Disebalik ketidaksempurnaan semasa bermain alat muzik itu, terselit rasa puas hati dan gembira. Dalam erti kata lain, muzik itu menyeronokkan apabila dipelajari. Ibarat kata pujangga, tak kenal maka tak cinta.


Semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak sebenarnya perkara yang tidak diketahui. Oleh hal yang demikian, banyak lagi perkara berkaitan muzik tradisional ini yang perlu dicari ilmunya. Apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang pelajar adalah terus mencari dan menambah ilmu.


Teruskan Membaca...

Tuesday, August 10, 2010

MINGGU 4: JURNAL REFLEKSI


Assalamualaikum.


Pada pembelajaran yang lepas saya telah pun mengetahui secara jelasnya mengenai tiga perkara iaitu kaedah klasifikasi Muzik Tradisional. kategori muzik, dan ciri-ciri muzik tradisional ini. Pembelajaran itu sangat menarik, antaranya apabila secara pertama kali melihat video Ghazal Parti itu yang diiringi dengan penari yang menari "ala-ala Arab".


Semakin lama, pembelajaran Muzik Tradisional ini semakin menarik. Pastinya saya lebih berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan sesebuah jenis muzik tradisional dengan lebih terperinci.

Kini sudah empat minggu sesi pembelajaran diikuti. Semakin banyak pengetahuan baru yang saya dapati. Pastinya pengetahuan ini memberi kesan kepada persepsi saya terhadap Muzik Tradisional. Ia sememangnya menarik untuk dipelajari setiap lapisan masyarakat umumnya. Kali ini, pembelajaran berjalan seperti biasa, diselangi dengan gelak ketawa pelajar, dan raut wajah yang tertarik pada tayangan video semasa kelas dijalankan. Apa yang menarik pada minggu ini adalah, saya mempelajari wayang kulit yang meliputi perkara seperti jenis wayang kulit, alat-alat muzik wayang kulit, dan perbezaan wayang kulit.
Awalnya, kami diajar apa itu Muzik Wayang Kulit. Bagi pelajar seperti saya yang tidak pernah mengambil tahu, tidak pernah melihat wayang kulit, pastinya ia sesuatu yang mengujakan untuk mengetahui wayang kulit secara lebih dekat serta memahami perkara asas mengenainya. Video pertama yang dipaparkan sebelum pengajaran bermula sahaja sudah membuatkan saya berasa kagum dengan kreativiti manusia. Daripada asas wayang kulit itu, sesetengah pihak mampu untuk membuat pengubahsuaian yang memperlihatkan keunikan idea baru yang lebih kreatif. Menariknya apabila melihat bagaimana mereka mengolah idea penceritaan, penggunaan lampu, serta penggunaan ruang, dan berjaya melakukannya dengan baik sekali.
Seterusnya, proses kuliah berjalan dengan lebih serius. Terdapat beberapa pandangan yang menyatakan muzik wayang kulit ini mempunyai pengaruh Jawa, India dan China. Namun, masih tidak dapat dikenalpasti pengaruh mana yang jelas. Wayang kulit ini dikatakan mempunyai pengaruh India kerana penggunaan epik Mahabrata dan Ramayana. Kebanyakan daripada persembahan wayang kulit menggunakan epik agama Hindu ini. Di dalam wayang kulit ini, bukan sahaja latar lagu yang menarik, tetapi juga penceritaan, lakonan patung serta ukiran patung-patung tersebut yang sangat unik. Setiap ukiran patung itu mempunyai sebab tersendiri bergantung kepada karakter yang dibawa oleh patung ukiran tersebut. Contohnya patung yang hidungnya diukir tinggi menandakan watak patung tersebut sebagai seorang yang bongkak, kaya. Begitu pula sebaliknya.
Selain itu, wayang kulit ini mempunyai pelbagai jenis. seperti wayang Gedek, wayang kulit Jawa, wayang kulit Melayu, dan wayang kulit Kelantan. Perbezaan wayang kulit ini dapat dilihat daripada cerita, bahasa, alatan muzik, serta patung yang digunakan. Contohnya, antara keempat-empat jenis wayang ini, hanya wayang gedek yang menggunakan patung yang kepalanya menghadap ke hadapan. Jika melihat wayang Jawa, dapat dilihat kedua-dua sendi tangan ini bergerak melakonkan watak, berbeza dengan wayang gedek yang hanya menggerakkan sebelah sendi tangan sahaja.
Seterusnya saya mengetahui alat-alat muzik yang digunakan di dalam persembahan wayang kulit ini. Contohnya Wayang Kulit Jawa tidak menggunakan alat muzik jenis kordofon, Wayang Kulit Melayu pula tidak menggunakan alat muzik jenis Aerofon. Walaupun wujud perbezaan ini, masing-masing mempunyai kekuatan untuk menonjolkan keunikannya yang tersendiri.
Kuliah minggu empat ini sememangnya menarik dan menimbulkan keinginan dalam diri saya untuk melihat persembahan wayang kulit ini secara lebih dekat. Namun, masih terdapat beberapa perkara yang kurang difahami. Oleh hal yang demikian, saya akan cuba untuk lebih membaca bahan berkenaan wayang kulit. Pengetahuan asas dalam wayang kulit ini telah menambahkan lagi pengetahuan sedia ada saya. Diharapkan kuliah seterusnya akan lebih menarik dan memberi input baru.







Teruskan Membaca...

Sunday, August 1, 2010

MINGGU 3: JURNAL REFLEKSI

ASSALAMUALAIKUM W.B.T (◕‿◕)

Pada sesi pembelajaran lepas, saya telah pun mengetahui mengenai Muzik Tradisional secara asasnya. Antara pengetahuan baru itu adalah seperti soundscape, sejarah kedatangan muzik, pengaruh-pengaruh luar yang terdapat dalam muzik khususnya di Malaysia, juga kategori alat-alat muzik dan lain2. Selain itu, muzik juga adalah dipengaruhi oleh budaya sesebuah masyarakat. Maklumat yang diperolehi pada minggu kedua ini pastinya lebih membantu saya untuk memahami intipati muzik tradisional pada pembelajaran seterusnya.


Berdasarkan maklumat sedia ada ini, saya ingin lebih mengetahui genre muzik yang terdapat di Malaysia. Hal ini kerana saya hanya mengetahui beberapa bentuk muzik tradisional sahaja. Pastinya maklumat sedia ada ini ingin ditambah lagi dengan pengetahuan baru.


28 Julai 2010, sudah masuk kuliah minggu ketiga. Pada kali ini, suasana kelas lebih selesa. oleh hal yang demikian, proses penghayatan dan penerimaan maklumat menjadi lebih baik. Tambahan lagi isi kuliah pada minggu ini sangat menarik kerana mengutarakan banyak perkara yang tidak pernah ketahui. Namun, sedikit kelemahan pada minggu ini apabila bilik kuliah itu tidak mendapat connection internet. Maka, keterujaan untuk melihat video muzik semasa kuliah merudum. Walaubagaimanapun, kelemahan ini bukanlah disengajakan dan video itu masih boleh dilihat di rumah.


Sepanjang minggu ini, En Amran membicarakan mengenai tiga perkara utama iaitu kaedah klasifikasi Muzik Tradisional Malaysia,kategori Muzik Tradisional Malaysia, serta ciri-ciri Muzik Tradisional Malaysia. Pertamanya, saya mempelajari mengenai perspektif adaptasi dan idiosinkretik. Perspektif adaptasi iaitu kaedah penyesuaian. Iaitu alatan muzik adalah disesuaikan dengan faktor persekitaran, atau sekeliling, budaya sekitar serta bersesuaian dengan faktor tubuh badan manusia. Contohnya Ghazal Parti yang menggunakan bahasa Arab dan nyanyiannya diiringi dengan "penari ala-ala arab". Kebiasaannya, penyanyi ini digelar ustaz. Ini mungkin kerana kefasihannya menyanyi dalam arab. Hal ini memperlihatkan penyesuaian dengan budaya arab dan menonjolkan perbezaaan dengan ghazal johor.







Seterusnya saya dapat mengetahui mengenai klasifikasi alatan muzik. Di sini, pengetahuan pembelajaran lepas amat berguna apabila belajar mengenai klasifikasi alat muzik barat. Tambahan lagi saya turut mengetahui erti istilah "perkusi' iaitu dalam erti kata yang mudah, jenis alatan muzik kategori membranofon(drum, bongo). Rupa-rupanya, terdapat perbezaan dalam klasifikasi alat muzik menurut budaya China, India dan Barat. Muzik China membahagikan jenis alatan muik berdasarkan bahan pembuatan alat muzik tersebut. Manakala, muzik India pula mengklasifikasikan alatan muzik mengikut cara alat itu dimainkan atau berfungsi.


Selain itu, dapat diketahui ciri-ciri utama muzik tradisional Malaysia yang meliputi tradisi besar(budaya klasik istana) dan tradisi kecil (budaya rakyat). Pertembungan budaya antara tradisi kecil dan besar ini menghasilkan muzik sinkretik yang bersifat fleksibel. Contohnya dondang sayang.





Pembelajaran seterusnya membolehkan saya menambahkan pengetahuan baru mengenai genre muzik yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. contohnya seperti Mekmulung, Randai, Kertuk. Termasuk juga tarian klasik istana yang berseni tinggi seperti tarian asyik.



Seperti yang disyorkan en Amran, saya telah melihat video muzik Kertuk. Ia dimainkan antaranya semasa majlis keagamaan dan upacara menuai padi. Selain daripada maklumat di atas, banyak lagi maklumat baru yang saya peroleh hasil pembelajaran pada minggu ini. Antaranya seperti bentuk muzik seni lakun utama, muzik bentuk dramatari, muzik ensembel genderang, muzik vokal dan instrumental solo dan muzik ensembel sosial popular serta muzik bentuk lain.

Di Malaysia, masih banyak lagi genre muzik yang belum diterokai keindahannya. Pembelajaran muzik ini juga masih belum saya kuasai dan fahami sepenuhnya. Namun begitu, sebagai seseorang yang masih baru dalam suasana muzik, masih banyak yang perlu saya pelajari. Oleh itu, saya akan lebih banyakkan membaca bahan muzik, melihat video-video muzik tradisional dan paling penting, lebih menumpukan perhatian pada kuliah yang akan datang.

(◕‿◕)
Teruskan Membaca...

Sunday, July 25, 2010

MINGGU 2: JURNAL REFLEKSI

Assalamualaikum w.b.t


Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada En Amran kerana memberi saya ruang dan peluang untuk mengikuti kursus ini walaupun semasa itu ahli kelas sudah ramai. Mengenai Muzik Tradisional, secara umumnya, saya tidak langsung mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebelum ini, saya tidak pernah mengambil bahagian dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan muzik, apatah lagi Muzik Tradisional. Pengetahuan saya tentang muzik hanyalah ibarat senipis lapisan kulit bawang. Dan boleh juga dikatakan sifar. Saya hanya pernah mendengar sepintas lalu muzik-muzik tradisional tanpa sebarang minat untuk mengetahuinya lebih mendalam.



Maka, apabila saya mendaftar untuk mengikuti kursus ini, besarlah harapan saya untuk melihat dan mengetahui keistimewaan muzik tradisional itu. Apa ada pada muzik?. Mengapa ramai orang yang berminat ke arahnya. Tambahan lagi sebagai seorang yang berkecimpung dalam sejarah, tradisonal itu berada pada ruang lingkup yang bertitik tolak pada zaman dahulu atau dalam kata lain, bersifat lama, antik dan pastinya menarik untuk diketahui. Tambahan lagi, apa yang menarik dalam kursus ini iaitu ia menggunakan blogger dalam menyelesaikan tugasan.


21 Julai 2010, pertama kali saya menjejakkan kaki ke dalam kawasan Fakulti Seni Muzik untuk menghadiri kelas. Kuliah yang pertama saya hadiri ini sangat menarik dan memberikan saya persepsi baru mengenai apa itu Muzik Tradisional. Pertamanya, saya didedahkan untuk membuat blog dan cara untuk membuatnya. Kemudian, kuliah bermula dengan memperihalkan mengenai 5 perkara iaitu Soundscape, budaya muzik, sejarah, kategori alat muzik dan juga konsep atau struktur.


Selama 2 jam itu, saya belajar bagaimana untuk memfokuskan pendengaran pada bunyi-bunyi yang ada pada sekeliling. Rupa-rupanya bunyi yang dihasilkan oleh alam semulajadi itu jika dihayati adalah sangat menarik. Termasuklah juga alunan merdu perut yang kelaparan. Jika sebelumnya, setiap bunyi-bunyian itu bagi saya adalah sesuatu yang tiada nilai dan tidak perlu dihayati dan kadangkala sangat membingitkan telinga. Tetapi sebenarnya, bunyi yang dikatakan menggangu ketenteraman awam itu, jika diberi makna dan digabungkan akan menghasilkan muzik yang sangat menarik. Itu adalah antara hasil dapatan daripada pembelajaran saya sepanjang kuliah itu.







Adakah muzik itu universal?. Tanpa ilmu mengenainya, kita tidak boleh mengatakan ia adalah universal. Melalui kuliah ini juga, saya melihat bagaimana sesebuah komuniti itu menyalurkan budaya mereka di dalam muzik. Jadi dapat dilihat keunikan setiap komuniti yang mempunyai muzik mereka tersendiri. Bukan sahaja muzik di Malaysia berbeza dengan negara Barat mahupun Timur, malahan negeri-negeri di Malaysia itu sendiri adalah berbeza muziknya.



Muzik itu adalah antara budaya masyarakat. Zaman dahulu kala, manusia awal hidup berpindah randah untuk kelangsungan hidup mereka (survivor). Mereka membina sistem sosial mereka sendiri yang akhirnya mewujudkan sebuah tamadun. Sistem sosial ini termasuklah budaya. Mereka mewujudkan muzik berpandukan budaya dan kepercayaan (anamisme) mereka yang menjadi identiti mereka.








Apabila manusia itu sudah mula berfikir jauh, mereka mula mengadakan interaksi sosiobudaya yang akhirnya menghasilkan kepelbagaian genre. Contohnya semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, wujudnya asimilasi budaya yang lahir kesan daripada akiviti perdagangan(Arab, China,Eropah), perkahwinan dan juga penjajahan. Kedatangan orang asing ini bukan sahaja mewujudkan kepelbagaian kaum tetapi turut membawa budaya mereka dan disebarkan kepada kelompok masyarakat sekitarnya. Disebabkan itu ahli arkeologi menjumpai artifak yang dipercayai asalnya datang daripada negara China, Arab dan sebagainya.











Di dalam kuliah ini juga, saya didedahkan dengan alat-alat muzik tradisional. Setiap alat muzik ini mempunyai kategori tersendiri. Semestinya saya tidak pernah mendengar istilah tersebut dan agak sukar untuk memahaminya. Contohnya seperti istilah "membranofon". Ilmu baru seperti ini pastinya menarik untuk diketahui.



Seterusnya saya dapat mengetahui secara asasnya struktur atau konsep muzik. Namun perkara-perkara ini tidak saya faham sepenuhnya. Contohnya seperti konsep melodi, skel, interval, pic dan banyak lagi. Namun, dengan penerangan En.Amran, saya mengetahui serba sedikit mengenainya.



Keseluruhannya, kuliah ini amat menarik dan dapat memberi pengetahuan baru kepada saya. diharapkan kuliah seterusnya akan memberi lebih kefahaman kepada saya mengenai Muzik Tradisional ini. Dari pihak diri saya sendiri, pastinya saya akan berusaha untuk menghayati nilai estetika sesebuah muzik itu.















Teruskan Membaca...

Friday, July 23, 2010

BIODATA

Nama

Nurulliyana bt Mustapha

No Matriks

D20081032760

Program

Pendidikan Sejarah

Kumpulan

A

Semester

Lima(5) / Semester 1 2010/2011

Subjek

SMP 2252 – Muzik Tradisional

Email

leeyanzgurlz@gmail.com

Alamat Blog

http://smp2252nurulliyana.blogspot.com

Negeri Asal

Johor

Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP A

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252nurulliyana Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template